Sunday, November 2, 2008

PEMBINAAN SAKHSIAH MENERUSI PENDEKATAN SPIRITUAL

Dr. Abdul Manan bin Mohamad al-Merbawi
Sempena Seminar Spritual Intelligence
Universiti Malaysia Pahang


Asal- Usul Kejadian Manusia

Manusia adalah makhluk yang diberikan kemuliaan oleh Allah. Terdapat dua unsur yang membentuk diri manusia iaitu unsur rohani (roh) dan jasmani (jasad). Terdapat satu bentuk hubungan yang khusus diantara roh dan jasad. Kewujudan hubungan yng khusus ini menjadikan manusia itu hidup. Apabila berlaku perceraian di antara roh dan jasad ini maka berlakulah kematian. Paduan dua unsur ini membentuk manusia yang sempurna kejadiannya.

Al-Quran telah menjelaskan tentang paduan dua unsur ini seperti yang terdapat keterangannya dalam firman Allah s.w.t

[rightِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى خَـٰلِقُۢ بَشَرً۬ا مِّن صَلۡصَـٰلٍ۬ مِّنۡ حَمَإٍ۬ مَّسۡنُونٍ۬ (٢٨) فَإِذَا سَوَّيۡتُهُ ۥ وَنَفَخۡتُ فِيهِ مِن رُّوحِى فَقَعُواْ لَهُ ۥ سَـٰجِدِ[/right]

Maksudnya: Dan (ingatlah peristiwa) tatkala Tuhanmu berfirman kepada para malaikat “sesungguhnya Aku (Allah) hendak menciptakan manusia daripada tanah liat yang kering yang berasal daripada tanah yang kental yang berubah warna dan baunya. Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh (ciptaan) Ku lalu mereka (para malaikat) sujud kepadanya”.

Nabi Adam a.s adalah merupakan manusia pertama yang diciptakan. Nabi Adam a.s diciptakan dari tanah. Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan juga hadith-hadith Nabi s.a.w yang menjelaskan tentang hakikat ini. Oleh kerana semua manusia berasal dari nabi Adam a.s ini, maka sudah tentu unsur ketanahan tetap ada pada setiap jasad manusia itu sekalipun pembentukan awal zuriat manusia seterusnya adalah dari air mani yang berlaku menerusi proses persenyawaan.

Rasulullah s.a.w telah mengisyaratkan kepada hakikat ini sebagaimana sabda baginda:

والناس بنو آدم وخلق الله آدم من تراب

Maksudnya : Semua manusia adalah keturunan Adam dan Allah menjadikan Adam dari tanah.

Manakala roh manusia pula tidak diketahui hakikat atau asal kejadiannya. Seseorang itu dilarang dari mengkaji hakikat tersebut. Ini kerana akal manusia tidak mampu mengetahui hakikat roh itu. Percubaan untuk mengetahui dan mendedahkan hakikat tersebut akan menyebabkan kebingunan dan kesesatan manusia itu sendiri.

Roh adalah diri manusia yang sebenar manakala jasad hanyalah tempat bagi roh itu. Rohlah yang sebenarnya merasai kenikmatan dan kesngsaraan, ketenangan dan kegelisahan, kebahagiaan dan kecelakaan. Sihatnya roh bererti kebahagiaan dan ketenangan bagi diri manusia manakala sakitnya roh bererti kesengsaraan dan penderitaan bagi dirinya itu.

Sesungguhnysa roh sudah mengenali, mengakui dan menyaksikan ketuhanan penciptanya sebelum jasad diciptakan. Al-Quran telah menyatakan hakikat ini Allah s.w.t telah mengambil penyaksiaan dengan bertanyakan roh di alam arwah (sebelum jasad dijadikan) tentang ketuhanan-Nya lalu dijawab oleh roh dengan pengakuan, pengesahan serta penyaksian terhadap ketuhanan pencipta mereka.

Pertanyaan dan jawapan ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

وَإِذۡ أَخَذَ رَبُّكَ مِنۢ بَنِىٓ ءَادَمَ مِن ظُهُورِهِمۡ ذُرِّيَّتَہُمۡ وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ أَن تَقُولُواْ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ إِنَّا ڪُنَّا عَنۡ هَـٰذَا غَـٰفِلِينَ

Maksudnya : Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia (Allah) jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri(sambil Ia bertanya dengan firmanNya) “Tidakkah Aku (Allah) tuhan kamu (wahai roh-roh),mereka menjawab: bahkan (Engkaulah tuhan kami), kami saksikan (ketuhanan Engkau) supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat bahawa sesungguhnya kami lupa semua ini.

Tujuan Manusia Dijadikan

Setiap apa yang dijadikan pasti ada tujuannya. Allah s.w.t tidak menjadikan sesuatu makhluk itu dengan sia-sia tanpa sebarang tujuan. Sesungguhnya manusia adalah semulia-mulia makhluk yang diciptakan. Penciptaannya itu sudah pasti mengandungi maksud atau tujuan yang tertentu. Al-Quran telah menyatakan bahawa penciptaan manusia itu adalah bertujuan mengabdikan diri (`ubudiyyah) kepada Alah s.w.t.

Hakikat ini dapat dilihat dalam firman Allah s.w.t:

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُو

Maksudnya : Dan Aku (Allah) tidak menjadikan jin dan manusia itu kecuali supaya mereka beribada (memperhambakan diri) kepada-Ku.

Pengabdian diri (‘ubudiyyah) ini tidak dapat dicapai tanpa seseorang itu mengenali penciptanya. Dengan akal semata-mata, manusia tidak mampu mengenali Tuhannya dan seterusnya mengabdikan diri kepada-Nya. Kerana itu Allah s.w.t telah mengutuskan para rasul a.s kepada umat manusia dari kalangan mereka sendiri untuk memperkenalkan kepada mereka tentang Tuhan mereka supaya mereka dapat mengabdikan diri kepada-Nya.

Kenyataan ini dapat dilihat keterangannya dalam al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t:

وَلَقَدۡ بَعَثۡنَا فِى ڪُلِّ أُمَّةٍ۬ رَّسُولاً أَنِ ٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَٱجۡتَنِبُواْ ٱلطَّـٰغُوتَ‌ۖ

Maksudnya ; Sesungguhnya kami(Allah) telah mengutuskan kepada setiap umat itu setiap rasul (yang menyeru kepada mereka supaya) mengabdikan diri kepada Allah dan menjauhi kezaliman.

Namun di sana terdapat banyak halangan atau rintangan yang menghalang manusia dari mencapai hakikat pengabdian diri (‘ubudiyyah) ini. `Ubudiyyah seseorang itu akan mengalami kecacatan dengan wujudnya halangan-halangan ini. Oleh itu, untuk mencapai kesempurnaan maqam `ubudiyyah ini, seseorang itu hendaklah berusaha membuang rintangan-rintangan tersebut hingga dia berjaya mencapai tujuan tersebut.

bersambung

No comments: