Sunday, November 2, 2008

PEMBINAAN SAKHSIAH MENERUSI PENDEKATAN SPIRITUAL 1

Hijab

Hijab-Hijab Yang Menghalang Manusia Dari Mencapai Tujuan Penciptaannya
Terdapat banyak hijab yang menutupi diri manusia sehingga ia terhalang dari mencapai hakikat `ubudiyyah yang menjadi tujuan penciptaannya. Antara hijab-hijab tersebut ialah kejahilan, dosa, syaitan, sifat-sifat basyariyyah dan kelalaian. Hijab-hijab ini pada hakikatnya mempunyai kaitan yang sangat rapat antara satu sama lain.

Hijab kejahilan

Kejahilan adalah merupakan hijab kebanyakan manusia. Orang yang berada dalam keadaan kejahilan seumpama orang yang berjalan dalam kegelapan. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab dari Tuhannya sehingga dia tidak mengenali-Nya dengan sebenar-benar pengenalan. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab dari mengenali suruhan dan larangan agamanya sehingga dia mengabaikan tuntutan agamanya itu dalam kehidupannya di dunia ini. Dengan sebab kejahilan seseorang itu terhijab dari mengenali kehidupan akhirat yang pasti akan dihadapinya sehingga dia tidak membuat persedian yang cukup bagi tujuan tersebut.

Hijab kejahilan adalah merupakan hijab yang pertama yang mesti dibuang dari diri seseorang itu. Suruhan dan kewajiban menuntut ilmu bagi setiap yang beragama Islam adalah bagi membuang hijab kejahilan ini. Rasulullah s.a.w telah bersabda :


طلب العلم فريضة على كل مسلم

Maksudnya : Menuntut ilmu adalah satu kewajiban ke atas setiap muslim.

Imam al-Ghazali telah meletakkan ilmu sebagai halangan pertama yang perlu ditempuh oleh setiap orang yang ingin menjalani jalan agama dan mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. Huraian tentang perkara ini dapat dilihat dalam karya beliau Minhaj al-Abidin (jalan ahli ibadah) dan karya-karya beliau yang lain.

Hijab dosa

Dosa adalah merupakan hijab yang menutupi hati atau roh manusia dari mencapai hakikat-hakikat kebenaran. Dosa-dosa itu diumpamakan seperti titik-tiik hitam yang menutupi permukaan hati manusia di mana kewujudannya boleh menghalang penglihatan mata hati (basirah) tersebut.

Hakikat ini telah dinyatakan oleh rasulullah s.a.w dalam sabda baginda:
Maksudnya : Sesngguhya seseorang mukmin itu apabila dia melakukan sesuatu dosa maka ada titik hitam dalam hatinya, sekiranya dia bertaubat dan beristighfar maka bersihlah hatinya itu, sekiranya bertambah (dosanya) maka bertambahlah (titik hitam itu) sehingga ia menutui hatinya, maka itulah al-ran yang disebut oleh Allah dalam al-Quran yang bermaksud “bahkan apa yang telah nereka usahakan itu (kekufuran dan kemaksiatan) telah menutup hati mereka itu”.

Kewujudan dosa yang tidak diikuti dengan taubat dan istighfar menjadikan penglihatan roh manusia (basirah) terhijab sehingga ia tidak dapat melihat hakikat-hakikat kebenaran dengan nyata dan terang. Keadaan ini menjadikan manusia mula menghadapi krisis sehingga keyakinannya menjadi lemah dan pudar malah timbul banyak keraguan dalam hatinya tentang urusan agamanya. Di smping itu, hatinya akan menjadi keras dan perangainya akan menjadi kasar.

Hijab syaitan

Syaitan adalah merupakan musuh tradisi bagi setiap manusia. Permusuhan ini telah dijelaskan oleh Allah dalam al-Quran sebagaimana firman-Nya:

أَلَمۡ أَعۡهَدۡ إِلَيۡكُمۡ يَـٰبَنِىٓ ءَادَمَ أَن لَّا تَعۡبُدُواْ ٱلشَّيۡطَـٰنَ‌ۖ إِنَّهُ ۥ لَكُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬

Maksudnya : Tidakkah Aku (Allah) telah memerintahkan kamu wahai bani Adam (manusia) supaya kamu tidak menyembah (memperhambakan diri) kepada syaitan, sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi kamu.

Syaitan menjadi hijab kepada rohani manusia kerana ia menutup pintu hati manusia dengan mengerumuninya sehingga rohani manusia itu terhijab dari menyaksikan hakikat-hakikat kebenaran. Sekiranya syaitan tidak mengerumuni hati manusia maka manusia itu akan dapat menyaksikan keagungan Allah di sebalik alam nyata ini.

Rasulullah s.a.w telah mendedahkan perkara ini dalam sabda baginda:
Maksudnya : Apabila aku turun ke langit dunia, lalu aku melihat di bawahku tiba-tiba aku berada dalam suasana asap dan suara. Aku bertanya “Ini apa wahai Jibril?”. Jibril menjawab “inilah syaitan-syaitan yang mengerumuni penglihatan manusia supaya mereka tidak bertafakkur tentang kekuasaan Allah di langit dan bumi. Kalaulah tidak kerana semua itu pasti mereka akan melihat keajaiban”.

Syaitan juga mengganggu manusia dengan mendatangkan berbagai bentuk was-was atau keraguan. Keraguan yang mendatangi hati manusia ini lama-kelamaan akan mempengaruhinya sehingga ia menjadi sebahagiaan dari pegangan hatinya. Kewujudan keraguan dalam hati manusia akan mengganggu kejernihan hati tersebut dan seterusnya akan melemahkan keyakinannya terhadap hakikat-hakikat kebenaran yang diketahuinya selama ini.

Hijab sifat-sifat basyariyyah

Sifat-sifat basyariyyah ini bukanlah bermaksud tabiat semulajadi yang ada dalam diri manusia seperti makan, minum, tidur, berkelamin dan sebagainya. Apa yang dimaksudkan dengan sifat-sifst basyariyyah ini ialah sifat-sifat tercela (sifat madhmumah) yang bersarang dalam hati manusia seperti sifat angkuh (takabbur), ujub (bangga dengan kelebihan dan keistmewaan diri), iri hati (hasad), menunjuk-nunjuk (riak), rakus atau tamak dan sebagainya lagi. Ini kerana,menurut ulama tasawwuf, asal roh manusia itu sudah mengenal hakikat ketuhanan Tuhannya secara fitrah (naluri) yang dijadikan Allah pada setiap diri manusia.

Hakikat ini jelas kelihatan dalam firman Allah s.w.t:

فَأَقِمۡ وَجۡهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفً۬ا‌ۚ فِطۡرَتَ ٱللَّهِ ٱلَّتِى فَطَرَ ٱلنَّاسَ عَلَيۡہَا‌ۚ لَا تَبۡدِيلَ لِخَلۡقِ ٱللَّهِ‌ۚ ذَٲلِكَ ٱلدِّينُ ٱلۡقَيِّمُ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَعۡلَمُونَ

Maksudnya : maka hadapkanlah mukamu (sepenuh jiwa ragamu) kepada agama (Islam/ tawhid) dalam keadaan bersih (dari syirik), (ia adalah) fitrah Allah yang Allah swt menjadikan manusia di atas fitrah ini, tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah, itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakkan manusia tidak mengetahui.

Namun kewujudan sifat-sifat tercela ini terutamanya sifat keakuan diri (ananiyyah) yang mana darinya timbul berbagai-bagai sifat tercela yang lain, telah mencemar kemurnian fitrah beragama manusia tersebut. Dengan kata lain ia telah menjadi hijab bagi rohani manusia sehingga pengenalannya terhadap hakikat-hakikat ketuhanan Tuhannya mula pudar dan dibayangi dengan syirik khafi (yang tersembunyi).

Hijab Kelalaian (ghaflah)

Ghaflah (kelalaian) merupakan salah satu hijab bagi rohani manusia. Kelalaian yang dimaksudkan di sini ialah kelalaian roh manusia dari mengingati dan menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan perkara-perkara keakhiratan. Kelalaian ini berpunca dari kelalaian hati (roh) yang cenderung dan tertumpu kepada kebendaan semata-mata. Ikatan kasih yang sangat kuat terhadap perkara-perkara keduniaan atau kebendaan menyebabkan hati sentiasa tertumpu kepada perkara-perkara tersebut.

Apabila hati mula tertumpu dan terikat dengan perkara-perkara tersebut itu maka kecenderungan dan penumpuan terhadap hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan dan menjadi lemah. Semakin kuat ikatan hati manusia terhadap perkara-perkara keduniaan dan kebendaan maka semakin lemah penumpuan hatinya terhadap hakikat-hakikat ketuhanan dan perkara-perkara keakhiratan.

Al-Qur’an telah mengisyaratkan kepada hakikat ini sebagaimana firman Allah s.w.t:

مَّا جَعَلَ ٱللَّهُ لِرَجُلٍ۬ مِّن قَلۡبَيۡنِ فِى جَوۡفِهِ

Maksudnya: Allah s.w.t tidak menjadikan bagi seseorang itu dua hati (penumpuan) di dalam rongga badannya.

Untuk membuang hijab-hijab (halangan-halangan) rohani ini seseorang itu perlu melakukan tazkiyah al-nafs.

Kesan-Kesan Dari Rohani Yang Terhijab

Kewujudan halangan-halangan ini menyebabkan kekotoran jiwa manusia dan kekerasan hatinya sehingga ia menjadi semakin jauh dari penciptanya. Orang-orang yang terhijab rohaninya berada dalam keadaan kelalaian (ghaflah) seumpama orang yang sedang tidur. Sebagaimana keadaan orang yang sedang tidur itu tidak menyedari peristiwa-peristiwa yang berlaku di sekelilingnya, maka demikian juga orang yang terhijab rohaninya.

Dia tidak menyedari kewujudan Tuhan yang bersifat dengan sifat-sifat keagungan, keindahan dan kesempurnaan. Dia tidak menyedari kewujudan pencipta yang menciptanya, yang mengatur urusan hidupnya, yang berkuasa ke atas dirinya, yang mengetahui tentang dirinya, yang memberikannya nikmat yang tidak terhitung jumlahnya, yang memenuhi keperluan hidupnya dan sebagainya. Dia tidak menyedari tentang kematian yang akan mendatangi setiap yang bernyawa dan juga peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepasnya.

Hakikat inilah yang terkandung dalam apa yang diriwayatkan dari Nabi s.a.w.:

الناس نيام فإذ ا ماتوا انتبهوا

Maksudnya: Manusia itu tidur, apabila mereka mati mereka mula sedar.

Rohani manusia yang terhijab dan tidak menjalani proses tazkiyah al-nafs akan dihinggapi berbagai-bagai penyakit rohani yang akan merosakkannya. Punca segala penyakit rohani itu ialah cinta dunia (kegilaan terhadap habuan duniawi yang membawa kepada kerosakan agama dan moral seseorang itu).

Nabi `Isa a.s. telah menjelaskan hakikat ini sebagaimana sabda baginda:

حب الدنيا أصل كل خطيئة

Maksudnya : Cinta dunia adalah punca segala kesalahan (dosa).

Sesungguhnya kerosakan, kecelakaan dan kebinasaan seseorang itu adalah berpunca dari kerosakan rohaninya. Ini kerana roh atau hati manusia adalah seumpama raja yang memerintah dan mengeluarkan arahan yang mana perintah dan arahannya itu akan dituruti. Sekiranya raja tersebut tidak baik maka ia akan mengarahkan sesuatu yang tidak baik dan arahan tersebur akan dilaksanakan. Demikian juga dengan hati dimana sekiranya hati itu tidak baik maka ia akan mengeluarkan arahan yang tidak baik yang akan dilaksanakan oleh anggota-anggotanya itu.

Renungan terhadap hidayah al-Rasul s.a.w dalam sabda baginda dapat mendedahkan hakikat ini. Rasullullah s.a.w telah bersabda:

ألا وان في الجسد مضغة اذا صلحت صلح الجسد كله واذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهي القلب

Maksudnya:Ketahuilah sesunggunya dalam tubuh manusia itu ada segumpal darah, apaila baik ia maka baiklah seluruh jasadnya dan apabila rosak ia maka rosaklah seluruh tubuhnya, ketahuilah, itulah hati.

Bukanlah yang dimaksudkan dengan hati (qalb) di sini iaitu hati sanubari atau jantung yang merupakan segumpal darah beku yang berada di dalam rongga dada sebelah kiri manusia. Apa yang dimaksudkan di sini ialah roh manusia yang menurut Iman al-Ghazali dalam karya beliau Ihya’ ‘Ulum al-Din, mempunyai hubungan yang khusus dengan hati sanubari tersebut.

Sesungguhnya kerosakan yang berlaku di muka bumi ini adalah akibat dari perbuatan manusia itu sendiri yang berpunca dari kerosakan dan kepincangan rohani mereka. Keangkuhan, kerakusan, kegilaan terhadap dunia dan kedengkian menjadi sebab timbulnya permusuhan di kalangan manusia. Kejadian jenayah seperti rompakan, pembunuhan, penculikan, penipan, rogol dan lain-lain dan kejadian maksiat seperti zina, minum minuman keras, judi dan sebagainya, adalah berpunca dari kerosakan rohani manusia.

Kerosakan manusia yang berpunca dari kerosakan rohani ini akan membawa kepada kerosakan masyarakat dan seterusnya kerosakan dan kemusnahan umat manusia yang mendiami muka bumi ini di samping kemusnahan tamadun kebendaan yang mereka telah bina dalam tempoh yang lama.

Allah s.w.t telah befirman mengisyaratkan kepada hakikat ini sebagaimana firman-Nya:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِى ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِى ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِى عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ

Maksudnya : Telah zahir kerosakan di daratan dan lautan dengan sebab apa yang telah diusahakan oleh tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka (sebagai balasan terhadap) sebahagiaan (kesalahan) yang mereka lakukan mudah- mudahan mereka kembali (ke jalan Allah s.w.t).

bersambung

No comments: